Kepentingan Pengurusan Kewangan

26 08 2008

Mastura binti Mohd Zain
Pegawai Penyelidik IKIM

17/11/2006

Kita masih lagi berada di bulan Syawal. Jika kita meninjau semula, bagaimana  perbelanjaan semasa menyambut Hari Raya yang lepas, lebih-lebih lagi dengan duit bonus yang diterima pada masa itu. Adakah kita meyediakan sebarang bentuk panduan atau kawalan ke atas perbelanjaan yang akan dibuat, atau berbelanja sesuka hati membeli apa saja yang diingini? Setelah habis sambutan Hari Raya barulah kita menyesal bila menyedari perbelanjaan untuk perkara yang lebih mustahak, contohnya persiapan persekolahan anak-anak telah tiada.

Di sini timbulnya kepentingan agar setiap orang berkemampuan untuk merancang dan mengurus hal kewangan mereka dengan baik. Sememangnya sebagai individu yang dikurniakan akal oleh Allah SWT, kita bertanggungjawab terhadap diri kita sendiri. Setiap  orang Islam sebenarnya perlu merancang kehidupannya dengan lebih teratur dan terarah. Ini bagi memastikan agar kejayaan dan kecemerlangan umat Islam menjadi kenyataan.

Umat Islam sebenarnya perlu melakukan muhasabah diri pencapaian yang dimiliki dan kekurangan yang perlu diperbaiki. Amalan muhasabah sebenarnya elok dilakukan setiap hari, malah dalam Al-Quran juga ditegaskan suruhan bermuhasabah sebelum kita menghadapi hari penghisaban Allah nanti. Firman Allah SWT bermaksud: “Wahai orang yang beriman bertakwalah kepada Allah dan hendakah setiap diri memperhatikan apa yang telah dikerjakannya untuk hari esok(akhirat)  dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan”(Surah Al-Hasyr, ayat 18).

Oleh itu orang Islam sepatutnya merancang kehidupannya dengan lebih teratur dan tentunya kehidupan ini bermula di dunia hingga ke akhirat. Jika kita mengabaikan perancangan kehidupan di dunia, manakan terdaya untuk memiliki akhirat. Kemampuan untuk merancang dan merencana ini sebenarnya memang disaran dalam Islam. Kalau dilihat dalam Surah Yusuf menunjukkan contoh perancangan meliputi jangkamasa lima belas tahun yang dilakukan oleh Nabi Yusuf a.s. dan akhirnya beliau berjaya menghadapi krisis makanan dan kemarau panjang yang menimpa Mesir serta negeri-negeri sekitar dengannya.

Persoalannya sekarang, mengapa kita perlu merancang kewangan? Merancang kewangan bermakna berfikir tentang matlamat hidup kita, mempunyai wawasan dan memperolehi maklumat yang lengkap seperti angka-angka yang tepat, dan terkini dan tahap-tahap kepentingannya. Ini bermakna kita mengenal pasti kemampuan yang ada serta keupayaan untuk mengembangkannya.

Merancang kewangan juga dapat membantu seseorang itu mengimbangkan antara kemasukan dan perbelanjaannya. Dia tidak boleh berbelanja sebanyak sepuluh jika kemasukannya hanya lapan. Ini akan mengakibatkannya berhutang. Ini adalah asas perkiraan yang sangat mudah. Dengan kemahiran ini, setiap individu akan dapat menguruskan pendapatan mereka dengan baik, walau berapa kecilpun jumlahnya. Sebaliknya, tanpa kemahiran ini seseorang itu boleh jatuh miskin walau berapa banyakpun harta keluarga yang diwariskan kepadanya.

Golongan muda perlu diajar untuk membuat keputusan bijak mengenai wang. Apabila kanak-kanak meningkat usia, mereka membuat lebih banyak keputusan dari segi kewangan. Ia mungkin bermula dengan memutuskan berapa banyak wang saku untuk dibelanjakan di kantin sekolah atau bagi membeli sesuatu yang istimewa. Bagaimanapun ia semakin rumit apabila mereka mendapat kerja pertama semasa cuti atau meninggalkan bangku sekolah.

Sebagai contoh, apabila golongan muda kita meninggalkan rumah samada untuk melanjutkan pelajaran atau bekerja, mereka perlu mempunyai asas tentang jumlah kos untuk hidup sendiri. Mereka perlu memikirkan tentang jumlah wang untuk dibelanjakan ke atas sewa, makanan dan pengangkutan, jika perlu. Nasihat perlu diberikan mengenai cara untuk berjimat ke atas makanan dan pengangkutan supaya mereka boleh hidup dalam lingkungan elaun atau pendapatan mereka. Golongan muda perlu diberi kesedaran tentang bahaya kredit mudah. Mereka perlu faham bahawa kad kredit boleh bertukar menjadi sesuatu yang mahal jika tidak bijak menggunakannya. Mereka juga perlu diberitahu bahawa skim ansuran mudah atau sewa beli membabitkan lebih daripada bayaran bulanan kecil, kerana akhirnya kita akan membayar lebih daripada harga tunai.

Kemahiran kewangan asas yang diperolehi golongan muda akan dapat membantu mereka membuat keputusan dengan lebih tepat dan kurang berkemungkinan menjadi mangsa hutang. Negara-negara seperti Great Britain, Amerika Syarikat dan Australia telah mengetahui kepentingan kemahiran ini dan telah mula mengajar anak muda mereka sejak dari bangku sekolah lagi tentang kemahiran kewangan.

Malangnya untuk satu kemahiran hidup yang sepenting ini, masyarakat kita tidak diberikan pendidikan formal mengenainya. Tiada matapelajaran  pengurusan kewangan peribadi ini diajarkan di sekolah. Jadi tidak hairanlah ramai anggota masyarakat kita yang terperangkap dalam beban hutang yang tidak sepatutnya, manakala ramai eksekutif muda kita diisytihar muflis kerana gagal menguruskan hutang kad kredit mereka

Pengetahuan asas kewangan juga penting dalam sesebuah rumahtangga. Pasangan yang telah berkahwin harus bekerjasama merancang kewangan bagi memenuhi keperluan keluarga. Ini kerana ditakuti keperluan yang tidak dipenuhi akan melahirkan rasa tidak puas hati dan menggugat keharmonian keluarga. Perancangan kewangan perlu mengambil kira soal perlindungan harta. Perlindungan insurans dapat memastikan harta tidak lenyap begitu saja apabila musibah yang tidak dijangka melanda. Pendidikan anak-anak juga patut diselitkan dalam perancangan kewangan kita. Selain itu strategi pelaburan perlu dikaji untuk meningkatkan taraf ekonomi keluarga.

Keluarga yang tidak bersama-sama membincangkan urusan kewangan ditakuti menghadapi masalah di kemudian hari. Tidak mustahil masalah kewangan boleh meyebabkan tekanan yang menjadi penyebab perceraian pasangan suami isteri. Oleh sebab itulah kemahiran pengurusan kewangan ini harus diberi penekanan yang sewajarnya  oleh setiap orang.


Tindakan

Information

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s




Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: