Perancangan Kewangan (Bhg 2)

18 08 2008

Dipetik dari lamanweb Pelabur dan disesuaikan oleh DonZaini.

Setelah kewangan dapat dikawal, langkah seterusnya ialah;

Tetapkan Matlamat Kewangan Anda

Cara mudah untuk menetapkan matlamat kewangan adalah melalui perancangan awal untuk beberapa jangka masa – dua tahun, lima tahun, 10 tahun, 20 tahun dan seterusnya. Kemudian, fikir tentang keperluan dan keinginan anda (atau keluarga), dan jadikan ia sebagai matlamat khusus yang ingin dicapai untuk setiap jangka masa yang telah ditentukan. Klik di sini untuk lihat contoh Matlamat Kewangan Peribadi.

Matlamat anda boleh meliputi perkara-perkara yang memang diperlukan (umpamanya, memiliki rumah dalam masa lima tahun atau pembiayaan pendidikan anak-anak dalam masa 10 tahun atau simpanan untuk hidup selesa selepas bersara), hinggalah kepada perkara-perkara yang sejak sekian lama sudah diidamkan tetapi belum dapat dicapai (seperti bercuti naik keretapi Orient Express). Bagaimanapun, matlamat anda harus tentu, wajar, berfaedah dan bukan impian Mat Jenin. Sebagai seorang Muslim, amatlah wajar MENUNAIKAN FARDU HAJI untuk dijadikan salah satu dari matlamat kewangan utama anda.

Kemudian, kira berapa banyak wang diperlukan untuk memenuhi setiap matlamat tersebut. Jangan pula rasa takut melihat jumlah yang telah dianggarkan. Melainkan mereka yang memang sudah banyak menabung, kebanyakan kita perlu bekerja keras menambah tabungan untuk mencapai matlamat yang diimpikan – dan menambah tabungan boleh juga dibuat melalui pelaburan. Tujuan blog ini diadakan adalah untuk mengajak anda belajar cara bijak untuk melabur supaya mendapat pulangan yang diharap-harapkan bagi mencapai matlamat yang diimpikan.

Bentuk Program Pelaburan Anda

Sekarang anda sudah pun menetapkan matlamat dan sudah mengemaskinikan belanjawan anda untuk mendapat angka sebenar lebihan belanja yang boleh dilaburkan, tetapi ada satu lagi perkara yang perlu dilakukan sebelum memulakan langkah melabur. Kebanyakan perancang kewangan menasihatkan kita supaya, sebelum membuat sebarang pelaburan, sisihkan perbelanjaan sekurang-kurangnya untuk tiga hingga enam bulan bagi menghadapi waktu terdesak (umpamanya jika kehilangan pekerjaan) atau masalah aliran tunai yang tidak dijangka. Mereka yang sudah berkeluarga adakala dinasihatkan supaya menabung untuk perbelanjaan hingga setahun.

Setelah penampan waktu terdesak ini disediakan, anda boleh menimbangkan berapa banyak lebihan daripada pendapatan yang boleh digunakan untuk pelaburan bagi mencapai matlamat kewangan anda. Mulakan secara kecil-kecilan dan kemudian tingkatkan jumlah pelaburan setelah tabungan meningkat. Atau anda boleh juga memulakan pelaburan dengan menggunakan sebahagian daripada wang simpanan dan kemudian, setelah berasa lebih yakin, tambahkan tabungan untuk pelaburan.

Peruntukan aset: pelbagaikan pelaburan

Soalan seterusnya yang perlu anda tanya diri sendiri, dalam aset mana wang anda hendak dilaburkan? Patutkah anda membeli saham atau bon? Bagaimana kalau melabur dalam sekuriti kerajaan? Unit amanah? Hartanah? Atau bertindak lebih berani dan melibatkan diri dalam niaga hadapan?

Anda perlu buat kajian dahulu. Pertama, cari jenis produk pelaburan yang boleh anda peroleh, bagaimana setiap pelaburan itu dilaksanakan dan apa risiko terbabit. Ketika membuat penyelidikan mengenai sesuatu pelaburan, bermakna anda sedang menyelidik sesebuah syarikat atau pertubuhan kerana merekalah yang menerbitkan saham, sekuriti, unit amanah, bon dan lain-lain. Ada banyak maklumat boleh diperoleh, sama ada di media, dalam talian, dan daripada syarikat itu sendiri, yang membolehkan anda mengenali syarikat tersebut secara lebih dekat. Amat penting anda mengetahui secara jelas mengenai syarikat tersebut seperti jenis produk, prestasi, pasaran, saingan dan jenis industrinya bagi membolehkan anda membuat ramalan tentang prospek masa depannya. Mengapa? Sebab pelaburan anda bergantung kepada masa hadapan.

Anda tidak sepatutnya melabur dalam satu aset tertentu sahaja; supaya pelaburan anda berjaya, anda patut memilih gabungan beberapa kelas aset atau rangkaian pilihan beberapa aset tertentu dalam satu kelas aset (umpamanya melabur dalam pelbagai sektor sekiranya ekuiti adalah satu-satunya pilihan anda). Dalam perkataan lain, pelbagaikan pelaburan. Menentukan berapa banyak wang yang hendak dilaburkan dalam setiap kelas aset untuk membentuk portfolio pelaburan dipanggil pembahagian aset.

Bagi anda, gabungan aset keseluruhan yang tepat bergantung kepada matlamat, jangka masa yang ditetapkan untuk mencapai matlamat tersebut, jumlah wang yang anda ada untuk dilaburkan dan umur.

Jika anda ada pelan jangka panjang dengan matlamat untuk menyekolahkan anak anda daripada sekolah rendah ke peringkat universiti, anda boleh memulakan pendekatan agresif dengan memperuntukkan peratus lebih tinggi dalam pelaburan ekuiti. Tetapi, jika jangka masa yang ditetapkan adalah lebih singkat, anda mungkin perlu bersikap sederhana dan membuat peruntukan sama rata antara ekuiti dan bon yang lebih selamat. Jika dana pelaburan anda agak kecil, ini bermakna anda perlu memilih unit amanah. Umur anda juga harus diambil kira. Secara amnya, jika anda lebih berusia, anda patut lebih konservatif dalam membuat pelaburan dan tumpuan anda juga harus beralih kepada produk pelaburan yang menghasilkan pendapatan seperti bon.

Menggariskan semua pertimbangan ini dan menentukan pendekatan pelaburan yang mana perlu diambil ialah penentu paling utama dalam menghadapi risiko – sebab itu, ketahanan anda sebagai pelabur terhadap risiko adalah amat penting. Malah, pelaburan anda dalam aset tertentu dalam lingkungan setiap kelas sebahagian besarnya didorong oleh keupayaan anda menghadapi risiko.

Pandangan DonZaini mengenai pelaburan

Langkah penting dalam perancangan kewangan adalah pelan pelaburan. Perancangan ini hendaklah bermula dari sekarang. Pelan pelaburan bukan lagi satu pilihan malah menjadi suatu kemestian kepada setiap individu. Sebagai langkah permulaan, saya mencadangkan agar anda melabur dalam Skim Perlindungan Takaful Keluarga. Kenapa saya katakan sedemikian? Rata-rata di antara kita tidak mempunyai tabungan yang tersedia untuk digunakan bagi melabur seperti alternatif yang disebut di atas. Namun, supaya kita tidak ketinggalan, kita boleh menggunakan instrumen takaful sebagai salah satu bentuk pelaburan.

Takaful memaksa kita membayar caruman secara berkala seperti bulanan, 3 bulan sekali atau setahun sekali. Dengan cara ini kita akan memaksa diri kita menabung. Untuk tidak membebankan kita, saya cadangkan supaya kita bermula dengan caruman minima sebanyak RM50.00 sebulan. Saya rasa jumlah tersebut tidak membebankan dan membolehkan kita memulakan pelaburan. Sekiranya di masa akan datang, kita mempunyai lebihan belanja yang boleh dilaburkan, kita boleh menambah polisi takaful kita. Dengan cara ini, kita dapat dua manfat. Pertama kita boleh melabur. Kedua kita dapat perlindungan takaful.


Tindakan

Information

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s




%d bloggers like this: